KEHADAPAN para pemandu teksi Malaysia;
Saya mendengar dan melihat segala rintihan dan luahan anda.
Namun, sejak saya kecil hingga dewasa, apa yang telah anda lakukan untuk mendengar segala rintihan dan luahan kami pula, yakni para penumpang anda?
Pernahkan anda terdetik untuk menyelami isi hati kami sebagai penumpang?
Daripada sikap kurang peramah anda kepada kecenderungan untuk tidak menggunakan meter atau terlalu berkira berkenaan jarak destinasi yang ingin ditujui penumpang sehinggalah kepada harga tambang yang keterlaluan dan keadaan teksi yang ‘daif’ serta berbau, menipu tambang dengan ‘buat-buat’ sesat, memilih siapa anda hendak tumpangkan dan siapa tidak, memilih lokasi, panggilan tidak berjawab atau tidak datang ke lokasi selepas menerima panggilan dan macam-macam lagi.
Kamilah yang menjadi mangsa kepada semua itu!
Kini apabila pendapatan anda merosot akibat peralihan penumpang kepada perkhidmatan Uber dan GrabCar yang lebih boleh diharap berbanding teksi biasa, anda rasa kurang senang?
Sebenarnya, ‘rasakan’ segala yang telah anda lakukan kepada kami sebelum ini.
Sebab, itulah cara anda melayan kami dahulu bukan?
Ada anda pernah kisah kami terkinja-kinja dalam panas memanggil anda untuk berhenti? Ada anda pernah peduli apabila kami menggigil dalam kesejukan akibat hujan sambil berharap anda akan berhenti?
Anda membantu memusnahkan imej negara dengan mengenakan tambang keterlaluan kepada para pelancong, apakah anda fikir para pelancong begitu bodoh dan tidak tahu apa anda lakukan?
Ketika itu anda umpama raja kerana tiada persaingan, maka anda menjadi bongkak sehingga memilih-milih pelanggan. Siapa yang lebih menguntungkan lebih diberikan perhatian tanpa mengambil kira faktor dan adab yang lain.
Masalahnya, sampai bila mahu terus memberikan penumpang perkhidmatan yang tidak setimpal dengan kadar yang perlu dibayar? Jika pemandu teksi mengeluh mengenai industri perkhidmatan kereta sewa yang semakin kompetitif, apakah cara yang anda lakukan untuk menambat kembali kepercayaan penumpang?
Anda tidak pernah mempedulikan keperluan penumpang, jadi kini mengapa kami perlu pedulikan kebajikan anda?
Sikap tidak bertanggungjawab anda turut menggadaikan imej Malaysia, apabila negara ini dinamakan ‘juara’ dalam senarai negara dengan perkhidmatan teksi terburuk di dunia. Ya, nombor satu! Tahniah!
Mungkin ada suara yang membangkang pendapat penulis dengan menyatakan tidak semua pemandu teksi bersikap jelik seperti yang ditulis dalam perenggan-perenggan sebelum ini. Namun benarkah hanya segelintir yang bersikap buruk?
Secara lojik, imej pemandu dan perkhidmatan teksi Malaysia takkan menjadi seburuk sekarang andai hanya segelintir atau beberapa orang sahaja yang berperangai buruk.
Hakikatnya, hanya segelintir yang benar-benar jujur dan amanah. Disebabkan lebih ramai yang berperangai tak senonoh, segelintir kecil yang jujur ini pun merasa tempias kemerosotan sokongan terhadap perkhidmatan teksi di negara ini.
Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga, sikap negatif para pemandu teksi seperti andalah yang menyumbang kepada persepsi kurang baik terhadap pemandu lain yang amanah dan ikhlas dalam pekerjaan mereka. Dek kerana sikap anda, lebih ramai penumpang kini beralih kepada perkhidmatan Uber dan GrabCar yang lebih bermutu.
Tepuk dada, tanya selera.
Tidak perlu merungut, tidak perlu berpiket. Anda hanya perlu tingkatkan kualiti perkhidmatan dan ubah sikap untuk mengembalikan kepercayaan penumpang.
Jangan hendak untung menjadi buntung! – MYNEWSHUB.CC