JOHOR BAHARU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 12 Okt ini sebagai tarikh pengurusan kes kali kedua membabitkan peguam kontroversi, Kamal Hisham Ja’afar yang menghadapi dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM533,000, lima tahun lepas.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz pada pengurusan kes kali pertama hari ini.
Pada sesi itu, Kamal Hisham, diwakili peguam belanya Mohd Ashram Zakaria, manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sulaiman Khoo.
Mohd Ashram, yang ditemui pemberita, memberitahu tarikh itu turut ditetapkan bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan dokumen berkaitan sebelum tarikh perbicaraan dimuktamadkan.
Kamal Hisham, 45, yang menjadi buruan polis Malaysia sejak tiga tahun lepas, ditahan polis Singapura pada 3 Sept lepas kira-kira pukul 11.15 pagi sebaik didapati masuk ke negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, pada malam sebelumnya (2 Sept) dari Timur Tengah.
Dia dituduh dengan melakukan dua kes pecah amanah tersebut antara Disember 2009 dan Oktober 2010.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM515,000 pada Disember 2009 terhadap syarikat Met Mint (M) Sdn. Bhd., yang mahu menyewa ruang niaga di Bangunan JB Sentral.
Atas pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang RM18,000 terhadap Point Convenience Shop Sdn. Bhd., terhadap tujuan sama pada Oktober 2010.
Kamal Hisham ketika itu merupakan pengarah Southern Ads Sdn. Bhd., yang diamanahkan oleh lembaga pengarah syarikat dengan penguasaan ruang niaga di JB Sentral.
Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Kamal Hisham, yang hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarga, berpakaian kemeja T berkolar berwarna merah dan berambut lebih pendek berbanding pada masa mula dia dituduh. – BERNAMA