SHAH ALAM – Polis Selangor membongkar sebuah makmal memproses syabu dan merampas bahan itu bersama peralatan membuatnya yang bernilai kira-kira RM7.6 juta di Sungai Pelek, Sepang pada 31 Ogos lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, tiga lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun turut diberkas dalam serbuan di sebuah rumah kira-kira 5 petang itu.
“Pihak polis menemui tujuh tong plastik berisi cecair disyaki syabu seberat 126 kilogram (kg) serta 30 paket plastik lutsinar berisi serbuk putih yang juga disyaki syabu seberat 75 kg.
“Selain itu, pelbagai cecair dipercayai bahan kimia seperti Caustic Soda, Red Phosphorus dan Iodine yang biasanya digunakan bagi memproses syabu turut dirampas,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Turut disita sebuah kereta Toyota Harrier yang dipercayai digunakan kumpulan
terbabit dalam kegiatan haram mereka. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=aXr5fjm5MJA