MICROSOFT baru sahaja melancarkan Office 2016 untuk Windows, sekaligus membawakan perisian pejabat versi baru mereka yang diintegrasikan dengan Office 365, selain turut menjadi perisian pelengkap untuk sistem operasi terbaru mereka, Windows 10.
Office 2016 membawakan penawaran aplikasi desktop untuk Word, Excel, PowerPoint, Outlook, OneNote, Project, Visio dan juga Access.
Pengguna juga boleh melanggan Office 365 dalam memastikan aplikasi yang digunakan mereka merupakan versi terkini selain menggunakan ia pada pelbagai peranti berbeza.
Menurut portal Amanz, Office 2016 membawakan rekaan antaramuka yang selari dengan Windows 10, untuk menggunakannya sendiri, pengguna perlu menjalankan sistem operasi Windows 7 dan terkini.
Office 2016 membawakan beberapa integrasi baru dalam memudahkan kolaborasi dan kerjasama antara ahli pasukan dan rakan sekerja yang lain termasuk kebolehan menyunting dalam masa-nyata untuk sesuatu dokumen bersama-sama yang lain, dan juga integrasi Skype untuk memudahkan anda berhubung dan berkomunikasi.
Office 2016 akan ditawarkan dalam lebih 40 bahasa berbeza, dan pelanggan Office 365 boleh memuat-turunnya bermula hari ini. Selain daripada langganan bulanan, pengguna juga boleh membeli Office 2016 sebagai perisian berasingan yang dibayar hanya sekali sahaja untuk komputer dan juga Mac.-Mynewshub.cc
Sumber: MICROSOFT