NEPAL kini dikhabarkan dalam usaha untuk mengharamkan orang kurang upaya (OKU) daripada mendaki puncak gunung tertinggi dunia, Gunung Everest.
Perkara ini dibuat atas tujuan keselamatan para pendaki yang dititikberatkan oleh pihak berkuasa negara banjaran Himalaya tersebut.
Tindakan itu terpaksa diambil selepas lima bulan berlakunya gempa bumi yang mengorbankan 18 pendaki.
Namun, ada pula pihak yang menyifatkan tindakan kerajaan Nepal itu sebagai diskriminasi terhadap golongan OKU.
Menurut Ketua Bahagian Pelancongan Nepal, Govinda Karki: “Kami tak rasa ia satu keperluan untuk beri permit mendaki kepada orang yang tidak boleh melihat, berjalan serta mereka yang ada kekurangan anggota badan.
“Mendaki Everest bukanlah satu perkara main-main, ini bukan satu bentuk diskriminasi, macam mana nak mendaki kalau pendaki tiada kaki?
“Kami mahukan keselamatan pendaki dititikberatkan, oleh itu beberapa langkah keselamatan awal perlu dilaksanakan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Untuk rekod, seorang pemuda cacat penglihatan dari Amerika Syarikat, Erik Weihenmayer pernah berjaya sampai ke puncak gunung tersebut pada Mei 2001.
Manakala pemuda dari New Zealand, Mark Inglis pula mencatat sejarah menjadi orang yang memakai kaki palsu pertama berjaya mencapai puncak tertinggi dunia pada 2006. – MYNEWSHUB.CC