KUALA LUMPUR – Malaysia adalah negara yang dibina atas penyatuan semua kaum, bukan kaum Melayu sahaja!
NGO pro-pembangkang, Sisters in Islam (SIS) berkata, Perlembagaan Persekutuan turut meletakkan prinsip kesamarataan tanpa mengenal bangsa dan agama.
“Artikel 8 dalam Perlembagaan Malaysia membela kesamarataan antara rakyat Malaysia.
“Kenyataan oleh Tan Sri Annuar Musa jelas sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar pada ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ baru-baru ini menyebut satu hadis tentang mencintai bangsa sendiri tidak salah asalkan bukan menjurus ke arah kezaliman.
SIS membantah penggunaan hadis tersebut kerana mendakwa bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Malaysia dan melihat ia satu penyalahgunaan agama.
Menurut SIS, penggunaan hadis tersebut satu tindakan untuk mengapi-apikan semangat perkauman melampau dengan menggunakan unsur agama. – MYNEWSHUB.CC