JOHOR BAHARU – Jabatan Imigresen Johor menahan tujuh wanita rakyat Vietnam dan seorang lelaki rakyat Indonesia menerusi ‘Ops Sayang’ di sebuah premis hiburan di Pusat Perdagangan Pontian, dekat Pontian, malam tadi.
Penolong Pengarah Kanan Imigresen Johor Masri Adul berkata dalam operasi pada 11.50 malam itu, 17 individu diperiksa sebelum tujuh wanita yang disyaki pelayan pelanggan ditahan selain lelaki terbabit yang merupakan pengunjung pusat hiburan tersebut.
“Kesemua yang diperiksa berumur 28 hingga 38 tahun. Semasa serbuan dilakukan, kebanyakan wanita itu tidak menyedari kehadiran pegawai operasi kerana sedang asyik melayan pelanggan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Masri berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika di sini untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata kesemua wanita terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial manakala lelaki itu yang tidak memiliki dokumen perjalanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963. – BERNAMA