KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menolak pelaksanaan bai’ah taklik talak tiga oleh partinya sendiri pada tahun 2009.
Ketua Wanitanya, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, Nik Abdul Aziz menolak pelaksanaan bai’ah talak tiga kerana seorang Isteri tidak sewajarnya menjadi mangsa taruhan diatas perhitungan politik
“Kami menegaskan bahawa isu ini yang sebenarnya telah meletus pada tahun 2009 telah pun ditolak amalannya oleh ramai pihak termasuk oleh Nik Abdul Aziz sendiri.
“Malahan dinafikan oleh Majlis Syura Ulama PAS dan dibincangkan secara serius dalam Jawatankuasa PAS Pusat yang turut mendengar pandangan wakil sayap muslimatnya pada waktu itu.
“Jelas amalan ini ditolak dan diminta untuk dihentikan atas hujah ketidakwajaran mengheret institusi perkahwinan ke dalam percaturan politik parti dan kesetiaan seorang suami kepada perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Siti Mariah mendakwa, disebabkan pendirian Nik Abdul Aziz itu, PAS di semua negeri tidak lagi meneruskan amalan bai’ah taklik talak tiga ke atas wakil rakyatnya kecuali Kelantan.
“Lantas persoalannya, adakah Kelantan tidak prihatin akan hal ini dan kepimpinannya mengambil mudah akan sikap dan pendirian yang telah dizahirkan oleh Nik Abdul Aziz,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, isu itu secara tidak langsung membantu PAN menjelaskan kewajaran mewujudkan wadah baru politik Islam yang lebih telus, komited dan konsistan berbanding PAS.
“Ia menzahirkan Islam itu agama yang membawa rahmat dan sebaliknya bukannya agama yang memberi mudharat kepada setiap entiti yang membentuk kekuatannya,” katanya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berkata, bekas pemimpin itu yang menyertai PAN tidak boleh terlepas daripada bai’ah yang dilafazkan mereka walaupun dengan melakukan kafarah.
Ia ekoran dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat PAS yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Bekas pemimpin-pemimpin PAS yang menyertai PAN terbabit bagaimanapun tidak mengambil peduli mengenai perkara itu sebaliknya menegaskan akan terus kekal bersama isteri.
Salah seorang mereka yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menganggap cara beliau menguruskan isu baiah adalah urusannya dengan Allah dan meminta pemimpin PAS tidak masuk campur.
Khalid turut meraikan lebih 40 penduduk dari kawasan parlimen Shah Alam dengan hidangan kari kambing, ayam masak merah, acar timun dan teh tarik, selain sumbangan wang tunai.
Ia kononnya adalah bentuk kafarah (tebus sumpah) yang dilakukan Abdul Khalid kerana melanggar baiah yang diucapkan sebelum menjadi calon pilihan raya PAS sebelum ini. – Mynewshub.cc
https://youtu.be/lD_eaTfe6WU