KUALA LUMPUR – Parti politik berhaluan kiri yang memperjuangkan agenda sosialis, Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan menyertai Pakatan Harapan bersama-sama DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, dakwaan ramai pihak kononnya PSM disingkirkan daripada Pakatan Harapan kerana tidak dijemput dalam rundingan meja bulat baru-baru ini tidak benar.
“Walaupun PSM tidak dipanggil tetapi tidak bermakna mereka diketepikan. Proses ini masih terlalu awal sebelum dapat mencapai sasaran untuk mengabungkan semua parti (pembangkang),” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
PSM sebuah parti yang didominasi kaum India Malaysia yang memperjuangkan agenda bagi menjadikan Malaysia sebuah negara sosialis.
Ideologi sosialis bagaimanapun kurang disenangi majoriti rakyat terutama Melayu Islam kerana ideologi itu antara lain mengenepikan konsep beragama.
Tian Chua dalam pada itu berkata, walau apa pandangan ramai pihak terhadap PSM, parti itu adalah sebuah parti politik yang sangat setia kepada Pakatan Rakyat sebelum ini.
Malah, katanya, PSM merupakan sekutu kuat dalam gerakan reformasi di Malaysia untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Justeru, katanya, beliau bagi pihak Pakatan Harapan meminta maaf kepada PSM kerana tidak dipanggil dalam rundingan meja bulat dan meminta semua pihak berlapang dada menerima penyertaan PSM. – Mynewshub.cc
https://youtu.be/wNiYSzOkafg