KLUANG – Pegawai polis trafik wanita maut akibat dirempuh mat rempit ketika Ops Roda/Rempit di Kilometer 58 Jalan Batu Pahat-Mersing di sini, 2.40 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata kejadian ketika pegawai wanita terbabit, Inspektor Margaret Tagum Anak Goen, 32, sedang melakukan sekatan jalan raya bersama 20 anggota dan pasukan sukarelawan polis.
Operasi itu bermula 1.30 pagi. Namun, selepas sejam kemudian terdapat sekumpulan penunggang motosikal dari arah Mersing menuju bandar Kluang cuba meloloskan diri.
“Seorang daripadanya kemudian turut merempuh Margaret,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Mohamad berkata, Margaret yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sejak lima tahun lalu, kemudian dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Katanya, dia dilaporkan kritikal akibat patah tangan kiri, tulang pinggul dan kaki selain pendarahan dalaman di perut sebelum disahkan meninggal oleh pihak hospital, 12.45 tengah hari ini. – Harian Metro
https://youtu.be/JoYmRDa6ZzM