PUTRAJAYA – Seorang pekerja pawagam maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang bas yang sedang berhenti menurunkan penumpang di hentian bas di Presint 16 di sini malam tadi.
Mazwan Mantara, 22, yang bekerja di Golden Screen Cinemas Alamanda di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dalam kemalangan kira-kira 11.45 malam itu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi hari ini berkata penumpang dan pemandu bas berusia 44 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Mayat Mazwan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat, katanya. – BERNAMA