KUALA LUMPUR – Pembangkang memberi jaminan kerajaan baharu yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) tidak akan mengambil peduli tentang aspek agama dan kaum dalam menentukan hala tuju sosio ekonomi negara.
Penasihat DAP. Lim Kit Siang berkata, perkara itu sangat penting kerana keadilan sosio ekonomi Malaysia dan kebebasan hak asasi adalah untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengambil kira apa kaum dan agama mereka.
“Oleh itu perlu ada komitmen daripada semua pemimpin DAP, PKR dan PAN di semua peringkat untuk menyebarkan mesej keadilan sosio ekonomi tanpa mengambil peduli mengenai kaum mahupun agama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang dalam pada itu menegaskan Johor merupakan `kunci’ untuk gabungan baharu parti pembangkang yang terdiri dairpada PKR, DAP dan PAN menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Justeru, katanya, beliau yakin kewujudan PAN yang dipimpin oleh mereka yang meninggalkan parti PAS akan dapat memastikan rakyat Johor memberi undi mereka kepada DAP dan juga PKR.
“Johor daripada sebuah negeri yang mundur politik kini telah berubah kepada barometer perubahan masa depan politik Malaysia,” katanya. – Mynewshub.cc