MARANG – Seorang remaja terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 12, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Dua, di sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa Mohamad Syafiq Mohamad Zaidi, 20, maut di lokasi kejadian setelah merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail dari arah Kuala Berang menuju ke Kuala Terengganu yang cuba membuat pusingan U.
Susulan rempuhan itu, mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan dan berasal dari Bukit Payong, di sini tercampak dan jatuh ke dalam longkang serta mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala.
Manakala pemandu Nissan X-Trail yang merupakan seorang buruh dari Kemaman berusia 55 tahun itu dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. – BERNAMA