SEBAHAGIAN Gunung Kinabalu telah dibuka semula kepada para pendaki secara rasmi sejak Selasa lalu.
Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam sidang media perasmian MATTA Fair September 2015 di Dewan Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Bagaimanapun, pendakian hanya dibuka sehingga ke Laban Rata manakala, laluan ke puncak masih lagi ditutup berikutan usaha kerja penambahbaikan sedang dijalankan.
“Laluan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu akan dibuka semula pada 1 Disember ini.
“Kami juga telah menerima tempahan bagi mendaki puncak Gunung Kinabalu. Sambutannya sangat memberangsangkan daripada dalam dan luar negara.
“Ramai yang ingin menjadi yang pertama sampai ke puncak Gunung Kinabalu pada 1 Disember ini selepas berlakunya tragedi gempa bumi itu,” katanya.
Pada masa yang sama, Masidi turut mendedahkan bahawa laluan baharu untuk ke puncak Gunung Kinabalu mungkin akan lebih mencabar dan sukar memandangkan banyak laluan lama telah terjejas.
Sebelum ini, aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu ditutup sejak 5 jun lalu berikutan kejadian gempa bumi berukuran 5.9 skala Ritcher yang telah mengorbankan 18 pendaki termasuk malim gunung.

Sementara itu, Masidi yang mewakili kerajaaan negeri Sabah turut berharap agar kerajaan persekutuan dapat melihat semula kemungkinan pelaksanaan pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam penerbangan domestik.
“Saya faham akan pelaksaan itu. Namun, saya pendapat tahu pengangkutan Transit Aliran Ringgan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) tidak dikenakan GST.
“Harapan saya, kerajaan dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan GST dalam penerbangan domestik. Ini kerana untuk sampai ke Sabah, kita perlu melalui laluan udara.
“Kita percaya, ini akan dapat meningkatkan industri pelancongan Malaysia sekali gus memberi pulangan kepada agensi pelancongan dan kerajaan,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=s4ZAkOOr4z0&feature=youtu.be
https://www.youtube.com/watch?v=KcBm-RRZLq0
Oleh: FARAH
Foto/Video: RIZA RAZAK