KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang menipu seorang ejen hartanah membabitkan wang berjumlah RM41,200 dua tahun lalu dihukum penjara lapan bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Tan Kok Hui, 28, setelah tertuduh mengaku bersalah mengeluarkan wang tunai berjumlah RM41,200 dari akaun Maybank miliknya yang mana wang itu adalah milik seorang ejen hartanah, Wong Kam Ling, 52.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Mei lepas.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Maybank cawangan Maybank Metro Prima, Kepong, di sini pada pukul 12.27 tengah hari hingga 2.53 petang, 17 Dis 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, sekitar Disember 2013, mangsa menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali mendakwa dari Ibu Pejabat RHB Bank memaklumkan mangsa memiliki hutang kad kredit RHB Bank.
Mangsa yang terkejut menafikan perkara itu dan individu itu memintanya memindahkan wang ke akaun Maybanknya berjumlah RM41,200.
Bagaimanapun mangsa mengesyaki dirinya ditipu kemudiannya membuat laporan polis.
Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah kehilangan pekerjaan akibat ditahan sejak empat bulan lepas dan perlu menanggung ibu dan bapa yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan.
“Ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan tertuduh menyesali perbuatannya,” katanya.
Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA