JOHOR BAHRU – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Datuk Abdul Ghani Daud meninggal dunia pada tengah hari ketika mengerjakan solat Jumaat di Masjid Impian Emas Baru di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri Johor, Mohd. Rizal Buang ketika dihubungi Bernama berkata, Allahyarham dikatakan rebah semasa mahu mengangkat takbir.
“Sebelum itu beliau dilaporkan tergelincir semasa hendak mengambil air sembahyang dan sempat dibantu oleh beberapa jemaah lain. Namun Allahyarham hanya berkata, beliau tiada apa-apa,” katanya.
Mohd. Rizal seterusnya berkata, jenazah dijangka disolat di masjid tersebut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Aliff, Taman Damansara Aliff, Tampoi dekat sini selepas solat Isyak pada Jumaat.
Allahyarham meninggalkan balu, Datin Jalillah Mohamed dan empat orang anak. Abdul Ghani yang berusia 58 tahun, berkhidmat sebagai pengarah bomba negeri Johor sejak tahun 2008. – Agensi/Mynewshub.cc