KUALA LUMPUR – Anggota polis melepaskan dua das tembakan terhadap tiga suspek ‘geng duit palsu’ yang berdegil enggan menyerah diri selepas dikejar lebih tiga kilometer.
Dalam insiden jam 12 tengah hari semalam, seorang daripada suspek cedera di lengan kiri terkena tembakan berhampiran Bulatan Segambut di Jalan Kuching, di sini.
Suspek sebelum itu dipercayai mahu melakukan rompakan di Chow Kit di sini, sebelum terserempak sepasukan polis melakukan rondaan cegah jenayah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, anggota polis beberapa kali mengarahkan suspek berhenti menyerah diri, namun suspek berdegil.
“Suspek yang memandu secara melulu turut merempuh beberapa kenderaan awam di Jalan Raja Laut.
“Melihat tindakan bahaya suspek, polis melepaskan tembakan ke arah kereta itu sebelum ketiga-tiga suspek ditangkap,†katanya.
Menurutnya, pemeriksaan polis menemui gari, alatan menghisap dadah dan syabu di dalam kereta suspek.
“Polis menemui mesin pencetak duit palsu bersama segumpal kertas dipercayai wang palsu yang dipotong dalam but kereta itu.
“Suspek berusia 33 tahun yang memandu kereta Proton Saga BLM cedera ditembak selain luka di kening dan mata kanan akibat terhentak stereng kereta,†katanya.
Dia berkata, seorang anggota polis turut cedera ringan.
“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan wang palsu dan dadah,†katanya. – myMetro Online