PUTRAJAYA – Kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan lebih banyak kebebasan untuk rakyat berbanding zaman sebelumnya, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden DAP berkata sikap keterbukaan dan ruang tidak terdapat pada masa lalu dengan banyak undang-undang yang menekan dikenakan.
“Sebaliknya, kerajaan di bawah Najib telah melakukan lebih baik. Di bawah kerajaan sekarang… wujud lebih banyak keterbukaan dan ruang,” katanya demikian semasa sesi bengkel pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IAAC) ke-16 di sini, Jumaat.
Tunku Abdul Aziz berkata peserta persidangan itu mungkin telah menyaksikan rakyat berhimpun di jalanan selepas berada di negara ini – rujukan kepada perhimpunan Bersih 4.0 hujung minggu lepas.
Perhimpunan seperti itu tidak pernah berlaku pada masa lalu khasnya ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad, katanya.
Ketika itu, beliau berkata, ada kemungkinan bahawa peserta perhimpunan akan berdepan dengan tembakan meriam air untuk menyuraikan mereka. – BERNAMA