PARA pemandu teksi sememangnya terkenal dengan sikap panas baran dan kuat merungut sejak dahulu lagi.
Kini dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menaikkan kos sara hidup, mereka mempunyai alasan baru untuk terus merungut.
Tahap kemarahan atau dengusan serta rintihan yang muncul dari mulut para pemandu teksi menjadi lebih kuat lagi apabila wujudnya saingan baru dalam industri perkhidmatan teksi iaitu dari pihak Uber dan GrabCar (ride-sharing apps).
Mendengar keluhan para pemandu teksi mengenai kesusahan mereka mencari sesuap nasi memang mendatangkan sayu di hati sesiapa sahaja!
Apatah lagi ada dalam kalangan mereka yang telah bertahun-tahun berhempas-pulas bekerja untuk memastikan hidup ahli keluarga, anak-anak dan ibu bapa mereka terjamin.
Bukan sahaja itu, mereka juga terpaksa sentiasa risau terhadap kos memiliki, menyewa dan memandu teksi mereka.
Namun, di sebalik segala itu, mari kita lihat pula pada sudut pandangan yang lain.
Desakan hidup bukan ‘hak ekslusif’ buat pemandu teksi sahaja. Setiap orang dari pelbagai kelas sosial akan mengalami tekanan pada tempoh tertentu dalam hidup masing-masing.
Hakikatnya, kita semua perlu membanting tulang empat kerat siang dan malam untuk kesejahteraan keluarga serta perlu akur terhadap kesan dari setiap polisi kerajaan.
Ambil contoh sesetengah daripada kita yang menjalankan perniagaan umpamanya.
Para peniaga juga tidak terlepas daripada hidup dibelenggu kerisauan terhadap beberapa isu seperti masa depan perniagaan yang samar-samar.
Golongan peniaga juga penat bekerja dan berjuang untuk terus hidup tetapi berbeza dengan segelintir pemandu teksi ini, mereka tidak pula mengeluh mengenai kesukaran hidup kepada pihak media atau mengadakan protes terhadap para pesaing.
Jika hendak dibandingkan isu kepada pesaing pemandu teksi, Uber dan GrabCar bukannya bergerak tanpa masalah atau saingan serta kos.
Mereka juga ada halangan dan kekangan tersendiri.
Tidak seperti pemandu teksi Malaysia, kebanyakan mereka tidak menerima konsesi atau dorongan istimewa bagi memastikan kelangsungan hidup atau kedudukan mereka di dalam industri dilindungi.
Bagaimanapun pemandu teksi berterusan menerima konsesi walaupun perkhidmatan yang disediakan tidak setimpal langsung dengan keistimewaan yang diberikan.
Kami boleh kerat jari bahawa semua orang pasti pernah melalui pengalaman pahit dengan perkhidmatan teksi di Malaysia: pemandu tidak muncul-muncul, teksi tidak ‘ada’ (“Maaf, tiada teksi buat masa iniâ€Â), dikenakan caj melampau, tidak menggunakan meter, pemandu sesat jalan, terpaksa membayar lebih sebagai tips supaya mereka bersungguh-sungguh mahu menumpangkan anda, pemandu kurang ajar, teksi berbau atau terlalu buruk, dan pemandu ‘hantu’ yang memandu terlalu laju.
Apa yang lebih mengharukan, ada juga yang melalui insiden dirompak atau diserang oleh pemandu teksi. ‘Terima kasih’ kepada mereka, pemandu teksi di Malaysia kini berada di tangga pertama dalam senarai pemandu teksi paling teruk di dunia.
Kini dengan kemunculan servis teksi yang lebih efisyen, boleh dipercayai dan selesa, mereka tidak memilih untuk memperbaiki imej sendiri sebaliknya memilih untuk mengeluh dan mengadakan protes terbuka.
Persoalannya, apakah pembaharuan yang mereka telah lakukan setelah sistem kongsi-tumpang mula diperkenalkan di negara ini?
Andai mereka mendakwa ada pembaharuan dilakukan, justeru mengapa sehingga kini, para penumpang masih lagi mengadu tentang perkhidmatan buruk yang diberikan para pemandu teksi?
Mengapa tahap kepercayaan penumpang yang terhakis gagal dipulihkan?
Sejujurnya, para pemandu teksi yang mengeluh dengan kewujudan perkhidmatan seperti Uber dan GrabCar perlu bertanya kepada diri sendiri. Mengapa ramai yang terus mengadu dan marah dengan kualiti perkhidmatan mereka?
Mengapa ramai yang beralih arah kepada perkhidmatan pihak Uber dan GrabCar?
Hakikatnya, hidup ini memang tidak adil tetapi itu bukan bermaksud yang manusia tidak boleh bersikap adil.
Jika para pemandu teksi ini telah berusaha untuk meningkatkan tahap kualiti servis dan kenderaan mereka, mustahil penumpang akan menjauhkan diri daripada mereka.
Segalanya belum terlambat bagi pemandu teksi kerana masih ada penumpang yang akan menggunakan khidmat mereka atas sebab-sebab tertentu. Jika pemandu teksi ini sanggup  mengubah cara mereka bekerja dan berusaha untuk merebut tempat mereka dalam industri secara kolektif, mereka akan terus bertahan dan mungkin berkembang meskipun dihimpit saingan hebat daripada syarikat perkhidmatan teksi kaedah moden yang lain.
- MYNEWSHUB.CC