KANGAR – Hujan lebat yang turun sejak tiga hari lalu di Perlis menyebabkan beberapa kawasan rendah di negeri ini dinaiki air banjir pada awal Khamis.
Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perlis, sebuah pusat pemindahan telah dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Padang Melaka di Batu Bertangkup.
Ia membabitkan pemindahan sekumpulan mangsa banjir terdiri seramai 50 orang dari 12 keluarga kira-kira pukul 9 pagi pada 17 September.
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut memaklumkan sebuah pusat pemindahan dibuka tengah hari di Dewan Orang Ramai Kampung Panggas Besar yang melibatkan kira-kira 20 mangsa dari lima keluarga.
Difahamkan beberapa pusat pemindahan turut dibuka termasuk di pusat khidmat Mata Ayer dan Arau dengan jumlah mangsa yang dipindahkan belum lagi dapat dipastikan.
Paras air di beberapa batang sungai seperti Sungai Pelarit, Sungai Jarum, Sungai Buluh dan Sungai Batu Pahat didapati melepasi paras bahaya. – BERNAMA