KUALA LUMPUR – Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) akan memperoleh peluang untuk memasuki institusi-institusi latihan kemahiran dalam negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendekatan itu merupakan salah satu daripada program transformasi yang akan dilakukan kerajaan ke atas program PLKN.
“Signifikan pengambilan pelatih PLKN berwajah baru pada kali ini ialah Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti c alon pelatih terdiri daripada mereka yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPT.
“Oleh demikian, PLKN memberikan mereka peluang kedua untuk melanjutkan pengajian di institusi-institusi latihan kemahiran selepas tamat sesi latihan PLKN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, Hishammuddin berkata, sebuah Jawatankuasa Pemandu di antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut diwujudkan dengan penyertaan agensi kerajaan, tenaga pakar profesional serta pihak industri bagi memastikan pelaksanaan transformasi berada di landasan yang tepat.
“Adalah diharapkan agar projek perintis ini dapat menjadi panduan dan medan pembetulan bagi merencana pengambilan dan pelancaran sepenuhnya pada tahun 2016,” katanya. – mynewshub.cc