DI sebalik kelembapan kutipan filem tempatan, naskhah terbaharu arahan Ghaz Abu Bakar, ‘Polis Evo’ berjaya memecah kebuntuan itu apabila berjaya meraih sebanyak RM2.5 juta hanya dalam masa empat hari tayangan sahaja!
Filem tersebut yang mula ditayangkan di pawagam pada 17 September lalu menampilkan Shaheizy Sam dan Zizan Razak sebagai teraju utama.
Mungkin genre yang berbeza dari filem-filem tempatan sebelum ini menjadi faktor utama kejayaan ‘Polis Evo’ dalam menarik penonton untuk melihat filem di panggung wayang.
Filem bercorak penyiasatan dan kepolisan ini mengisahkan dua anggota polis, Khai (Sam) dan Sani (Zizan) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah di negeri Terengganu. – MYNEWSHUB.CC