PUTRAJAYA – Polis Putrajaya menafikan wujud laporan yang menjadi ‘viral’ di sebuah laman sosial komuniti kononnya berlaku kes cubaan menculik kanak-kanak oleh dua lelaki di Presint 16, di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata pihaknya telah menghantar pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (CID) untuk membuat tinjauan dan siasatan secara menyeluruh di semua sekolah di Putrajaya.
“Hasil siasatan itu mendapati pihak sekolah menafikan perkara itu berlaku. Bagaimanapun, pihak polis akan menyiasat susulan penyebaran berita itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baru-baru ini, sebuah laman sosial menyebarkan berita bahawa wujud cubaan menculik kanak-kanak di sana dan menasihati ibu bapa agar tidak membenarkan anak-anak bermain di luar tanpa pengawasan.
Sehubungan itu, Rosly berkata laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat semalam dan setakat ini, seorang wanita sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
Jelasnya, laporan polis itu juga dirujuk ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat penyebaran maklumat yang boleh menimbulkan kegusaran dan panik di kalangan masyarakat.
Beliau turut menasihati orang ramai sepatutnya tidak perlu panik, sebaliknya menyiasat kebenaran dan kesahihan sesuatu berita sebelum dihebahkan di laman sosial. – BERNAMA