KOTA TINGGI – Polis merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri dan 14 biji peluru hidup pelbagai jenis daripada seorang peniaga di Batu 4, Jalan Mawai-Mersing berdekatan Kampung Bukit Samsu, di sini Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata peniaga buah-buahan dan daging babi hutan yang berusia 35 tahun itu berasal dari Ulu
Tiram, ditahan anggota polis pada 5 petang, ketika sedang menunggang motosikal di kawasan tersebut.
Menurutnya, apabila cuba didekati, suspek melarikan diri namun berjaya ditahan selepas pergelutan dengan polis.
“Pemeriksaan ke atas suspek kemudian menjumpai empat butir peluru jenis Winchester 12 GA, sebuah telefon bimbit jenis Nokia, satu sim kad dan sebatang besi berukuran kira-kira tiga inci.
“Di bakul motosikalnya pula, kami menemukan sebungkus plastik berwarna biru yang diikat menggunakan gelang getah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.
Rahmat berkata di dalam bungkusan itu terdapat selaras senapang yang dipisahkan, dipercayai buatan sendiri.
Katanya, polis turut menemui sebuah kotak mengandungi 10 butir peluru jenis Winchester 12 GA, Baschieri & Pellagri 12 dan GB12 dari bungkusan yang sama.
Rahmat berkata polis percaya senapang itu digunakan untuk memburu dan suspek kini ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang mengenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA