MISTERI kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais akhirnya terjawab apabila pihak polis mengesahkan penemuan mayat Morais yang ditemui bersimen dalam tong terbiar di Jalan Subang 3, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh memaklumkan setakat ini pihak polis sudah menahan tujuh suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Morais.
Antara tujuh yang ditahan itu termasuk seorang doktor tentera yang baru-baru ini disabitkan dengan kesalahan rasuah di Mahkamah Shah Alam.
Morais merupakan Timbalan Pendakwa Raya melibatkan kes doktor terbabit.
Morais dilaporkan hilang pada 4 September lalu ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.
Sehari selepas itu, sebuah kenderaan dipercayai jenis Proton Perdana tanpa nombor enjin dan casis yang sudah dirosakkan dan hangus terbakar ditemui di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses forensik dan patologi. – MYNEWSHUB.CC
Lokasi Penemuan Mayat Kevin Morais