PUTRAJAYA – Bajet 2016 akan mengutamakan program-program berpaksikan rakyat berikutan ekonomi dunia dan domestik dijangka berkembang perlahan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata pada masa sama, semua agensi kerajaan perlu bekerjasama bagi mengelakkan berlaku pertindihan fungsi dan program bagi mengurangkan pembaziran, selain melaksanakan program berimpak tinggi.
“Kerajaan akan mengotakan aku janji yang telah dibuat dan dalam masa sama memastikan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan kewangan kekal mapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Husni berkata kerajaan juga akan mengambil kira segala saranan dan input yang dikemukakan oleh wakil-wakil rakyat dalam pertemuan dengan kementeriannya semalam.
Antara perkara yang dibangkitkan oleh wakil rakyat berkenaan ialah agar kerajaan memberi tumpuan kepada kos sara hidup, infrastruktur, pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar serta antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, katanya.
Ahmad Husni berkata mereka juga mahu kerajaan memberi tumpuan kepada rakyat luar bandar, golongan B40 serta kelompok pertengahan termasuk penyediaan perumahan mampu milik dan selesa untuk kumpulan berpendapatan rendah dan menengah.
“Segala saranan, cadangan dan pandangan wakil rakyat diteliti untuk dijadikan input Bajet 2016,” katanya. – BERNAMA