KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd., Public Mutual Bhd., mengumumkan agihan lebih daripada RM54 juta untuk lima dana bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2015.
Public Enterprises Bond Fund diumum mendapat agihan kasar tertinggi pada 3.50 sen seunit, diikuti oleh Public Singapore Equity Fund pada 1.25 sen seunit, Public Strategik SmallCap Fund (1.00 sen seunit), Public Institutional Bond Fund (0.97 sen seunit) dan PB Global Equity Fund diisytiharkan sebanyak 0.75 sen seunit.
Syrikat unit amanah itu dalam satu kenyataan, berkata Public Singapore Equity Fund direka untuk mencapai pertumbuhan modal dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang dengan dalam portfolio pelaburan terutamanya dalam pasaran Singapura.
“Dana ini sesuai untuk ibu bapa yang ingin melindungi masa depan perbelanjaan pendidikan anak-anak mereka di Singapura,” katanya.
Public Strategic SmallCap Fund pula disediakan untuk mencapai pertumbuhan modal dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang melalui pelaburan dalam syarikat yang mempunyai permodalan pasaran yang kecil.
Public Enterprises Bond Fund dan Public Institutional Bond Fund pula disyorkan untuk mereka yang mahu memperoleh pendapatan tahunan, di mana Public Enterprises membuat pelaburan dalam sekuriti pendapatan tetap serta instrumen pasaran wang, dan Public Institutional pula melabur dalam sekuriti hutang swasta.
“Sementara itu, PB Global Equity Fund bertujuan untuk mencapai pertumbuhan modal dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang dengan melabur dalam pelbagai portfolio saham mewah, saham indeks dan saham pertumbuhan yang tersenarai di pasaran saham global terpilih,” katanya. – BERNAMA