KUALA LUMPUR – Pembinaan pusat latihan untuk pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan pasukan bola sepak belia Johor sudah mencapai tahap 80 peratus.
Laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) melaporkan, pusat latihan di Padang Mawar di Pasir Gudang, Johor tersebut mirip pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam.
“Projek pembinaan pusat latihan di Padang Mawar, Pasir Gudang semakin siap dibina dengan penambahan pintu laluan masuk yang benar-benar mirip dengan pusat latihan pasukan utama iaitu JDT,” kata laman Facebook JST hari ini.
Menurut laman Facebook berkenaan, pusat latihan di Padang Mawar itu dijangka dapat digunakan pasukan JDT II dan skuad belia Johor menjelang musim hadapan.
“Dengan penambahan infrastruktur dan kemudahan seperti ini, ia pasti membantu pembangunan bola sepak negeri Johor sebagaimana diilhamkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” kata laman Facebook JST. – MYNEWSHUB.CC