TIDAK keterlaluan kami katakan, populariti yang dikecap ‘Raja Report Malaysia’ iaitu Abdul Rani Kulup kini persis seorang selebriti.
Buktinya, aktivis popular ini bukan sahaja diundang ke sebuah stesen radio dan rancangan ‘Super Spontan Musim-4’, malah turut berpeluang merakamkan lagu duet bersama Radhi OAG dan Neves (Pretty Ugly).
Uniknya, slogan yang cukup sinonim dengan Rani Kulup iaitu ‘Kipidap’ dipilih menjadi title bagi lagu single duet itu.
Lagu ‘Kipidap’ hasil gubahan bersama oleh Neves dan Amad Karyawan ini membawakan konsep Poppish yang kedengaran sangat ‘catchy’ dan turut diiringi muzik dari kumpulan The Cekelat Cedap.
Menurut pengurus produksi lagu single itu, Amad, lirik lagu ini lebih bersifat motivasi dan mengajak masyarakat bergerak untuk maju.
“Slogan ‘kipidap’ diterima oleh semua penyokong politik tidak kira parti mana dan Rani Kulup adalah ikon. Projek ini suatu eskapisme untuk kita bertenang setelah serabut dengan kerenah politik,” ujarnya.
Difahamkan, CD single lagu berkenaan akan dijual dalam bentuk pakej bersama komik, juga bertajuk ‘Kipidap’.
Dalam komik itu, Rani digambarkan sebagai seorang yang cintakan keamanan dan sering membantu mereka yang kesusahan. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Malaysia Kini
https://www.youtube.com/watch?v=kMDljW1WTBg