KOTA KINABALU – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem menyambut baik pelaksanaan prinsip penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Riot yang juga Anggota Parlimen Serian berkata Najib yang dilantik pada April 2009 untuk menerajui pentadbiran kerajaan, sememangnya komited mahu mengurangkan jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Dengan pengumuman pelaksanaan prinsip penurunan kuasa itu, ini bererti, akan lebih banyak kuasa diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan JTM-Samsung Tech Academy, penyampaian sijil tamat latihan dan graduan JTM-Samsung Tech Academy pertama di Institut Latihan Perindustrian Sepanggar di sini, hari ini.
Sebagai anggota Kabinet dari Sarawak, Riot melahirkan rasa terima kasih atas pelaksanaan prinsip penurunan kuasa itu kerana ia akan menjadi platform dalam membawa lebih banyak pembangunan dijalankan oleh penduduk Sabah dan Sarawak.
Semalam, Najib mengumumkan kerajaan Pusat bersetuju melaksanakan prinsip penurunan kuasa dan pada peringkat pertama ia akan melibatkan pentadbiran selain dilaksanakan secara berperingkat.
Antara langkah diumumkan ialah kerajaan negeri akan diberi peranan lebih besar dalam menentukan projek khususnya projek keutamaan, selain menetapkan 90 peratus guru berasal dari Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang. – BERNAMA