PUTRAJAYA – Bermula Isnin, pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diberi kebenaran memutuskan penutupan sekolah sekiranya jarak penglihatan kurang daripada 500 meter.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebelum ini penutupan operasi sesebuah sekolah di kawasan yang dilanda jerebu hanya diputuskan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 200.
Angka itu adalah bacaan kualiti udara pada paras sangat tidak sihat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan susulan isu jerebu teruk yang pernah melanda seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.
“Saya telah berbincang dengan pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada Sabtu dan memutuskan selain bacaan IPU, jarak penglihatan juga boleh diambil kira dalam menentukan penutupan sekolah.
“Maknanya, walaupun IPU masih antara 100 ke 120, tetapi jarak penglihatan di sesuatu kawasan itu sudah bawah paras 500 meter, kita benarkan PPD dan guru besar buat keputusan tutup sekolah,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.
Berikutan kualiti udara semakin buruk dengan IPU mencatatkan bacaan pada paras sangat tidak sihat, Kementerian Pendidikan pada Ahad mengumumkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan serta Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak diarah tutup Isnin.
Mahdzir berkata sepanjang jerebu melanda, kementerian itu menetapkan pukul 2 petang setiap hari sebagai waktu untuk mengumumkan sama ada sekolah akan ditutup atau beroperasi seperti biasa untuk keesokkan harinya.
Mengenai permintaan waris pelajar supaya pengumuman penutupan sekolah dibuat sekali gus, seperti tiga atau empat hari sekali, beliau berkata perkara itu ada logiknya tetapi kementerian mengambil kira pelbagai faktor antaranya kemungkinan perubahan pada bacaan IPU semasa.
“Yang lebih penting ibu bapa perlu tahu setiap pengumuman terkini dibuat oleh pihak kementerian adalah berasaskan kepada apa yang akan berlaku esok,” katanya. – BERNAMA