SEJAK kebelakangan ini, beberapa selebriti tempatan dilihat sudah mula berani bersuara menyatakan pandangan masing-masing berhubung situasi politik Malaysia.
Ekoran itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez memberi peringatan bahawa artis dan selebriti tempatan perlu lebih berhati-hati membuat kenyataan agar reputasi mereka tidak terjejas.
“Selebriti tidak perlu campur tangan urusan politik, sebaliknya perlu fokus kepada kerjaya seni masing-masing saja.
“Artis seharusnya berfikir dulu sebelum mengeluarkan kenyataan agar tidak kelihatan kurang bijak. Lagipun tidak kena pada tempat untuk artis mengulas mengenai isu politik,” katanya.
Pada masa yang sama Freddie turut mengulas tindakan pelakon dan penyanyi Soo Wincci yang menyatakan sokongan terhadap perhimpunan haram Bersih 4.0 yang berlangsung minggu lalu.
BACA: Desak PM Letak Jawatan: Soo Wincci Sedia Terima Padah
“Dia sendiri berada di Taiwan dan tidak tahu apa yang berlaku di Malaysia. Saya sendiri pun tidak tahu siapa yang dia wakili kerana realitinya dia tidak berada di sini.
“Banyak yang pihak kerajaan laburkan dalam industri kreatif dan jangan hanya fokus kepada keburukan semata-mata,” tegas Freddie lagi.
Sebelum ini, Soo Wincci mengejutkan ramai apabila dilihat memuat naik video di laman Facebooknya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan memandangkan beliau telah lama mentadbir dan selesa dengan kedudukannya.
Soo Wincci yang juga merupakan bekas ratu cantik Malaysia 2008/2009 turut menyatakan telah bersedia menerima sebarang akibat atas tindakannya itu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: Berita Harian