PUTRAJAYA  Penemuan katak beracun bukanlah hal yang mengejutkan. Namun, penemuan katak berbisa, apatah lagi jika bisa itu pula keluar terus dari bahagian kepalanya, maka itu pasti sangatlah istimewa.
Edmud Brodie dari Universiti Utah State, Amerika Syarikat dan Carlos Jared dari Instituto Butantan, Sao Paulo, Brazil menghabiskan hidup mereka mempelajari rantai makanan spesies amfibia di rantau Amerika Latin.
Dalam salah satu ekspedisinya di hutan Caatinga di Brazil, Carlos dipercayai secara tidak sengaja memegang satu spesies katak. Tanpa diduga, tangannya berasa sakit dan terbakar selama lebih kurang lima jam.
Mulanya, dia tidak mengaitkan kesakitannya itu dengan katak. Ia hanya disedari apabila Carlos akhirnya mengamati katak yang baru dikumpulnya itu, dan percaya bahawa amfibia itu mengeluarkan racun.
Lebih daripada itu, dia menjumpai katak itu menghasilkan bisa. Di kepala spesies yang disebut katak greening itu terdapat benjolan seumpama duri. Benjolan seperti tanduk tajam itulah yang mengeluarkan bisa.
Penemuan katak berbisa adalah sesuatu istimewa. Banyak katak bisa menghasilkan racun sebagai cara perlindungan diri, tetapi sangat sedikit yang ditemui mampu menghasilkan bisa yang boleh mematikan mangsa.
Dalam bidang biologi, haiwan beracun dan berbisa adalah dua hal berbeza. Katak beracun memiliki pertahanan pasif. Racun hanya akan membunuh jika lawan si katak itu cuba bersentuhan atau memangsakannya.
Ini berbeza dengan katak berbisa yang tidak sedemikian. Jenis katak ini memiliki pertahanan aktif, mampu dengan sengaja menusukkan benjolan berbentuk duri itu untuk langsung membunuh lawannya.
Dalam ekspedisinya, Brodie dan Carlos menemui dua spesies katak berbisa sekali gus. Katak berbisa yang dipegang Carlos itu adalah Corythomantis greeningi manakala katak satu lagi adalah Aparasphenodon brunoi.
Bisa dua jenis katak itu boleh mematikan mangsa. Bisa daripada Corythomantis greningi adalah dua kali lebih bahaya daripada ular jenis pit viper, namun Aparasphenodon bruni pula 25 kali ganda bisanya.
Bayangkan satu gram bisanya mampu membunuh 300,000 ekor tikus atau bersamaan 80 manusia. Kekuatan racun akibat dua katak itu menyebabkan amfibia ini disebut sebagai ‘katak dari neraka’.
Namun demikian, secara teknikal tentu sahaja, sekali suntikan bisanya tidak mungkin setara dengan satu gram. Jadi bukanlah bererti jika ketika terkena bisa katak ini, maka kita langsung akan terus mati.
“Menemui katak berbisa adalah sesuatu yang tidak pernah kami duga, dan menjumpai jenis beracun lebih mematikan daripada pit viper adalah sesuatu sangat mengagumkan,” kata Brodie.
Penemuan secara tidak sengaja dua saintis tersebut dilaporkan portal Eurekalert baru-baru ini dan berita unik ini turut diterbitkan menerusi jurnal Current Biology edisi bulan Ogos lalu.  Agensi/Mynewshub.cc/HAA