MUAR – Seluruh anggota UMNO perlu menumpukan usaha memulihkan kembali keyakinan terhadap parti dan menghentikan segala provokasi yang boleh merosakkan dan memberikan kesan negatif kepada parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim.
Beliau berkata keyakinan perlu diberikan kepada seluruh masyarakat dengan menjawab dan menjelaskan segala persoalan yang masih membelenggu mereka.
“Jangan lengahkan lagi untuk menjelaskan segala isu dan pada masa yang sama anggota UMNO jangan lagi memberikan tekanan kepada kepemimpinan.
“Juga jangan membuat provokasi kerana ia tidak baik untuk parti. Biarlah semua itu diselesaikan oleh kepemimpinan parti kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perkhemahan Kemasyarakatan Unit Beruniform Tingkatan Enam Daerah Muar di Kampung Parit Pinang Seribu di sini, hari ini.
Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata semua anggota UMNO perlu bersatu dalam menempuhi cabaran dan bersama-sama dengan pemimpin dalam menyelesaikan isu yang ditimbulkan. – BERNAMA