KISAH penderaan kanak-kanak yang berlaku di taska bukanlah cerita asing. Namun meskipun mendapat liputan media dan menerima kecaman orang ramai, cerita-cerita sebegini bagai tiada tanda akan berkesudahan.
Kini tersebar pula, video yang didakwa diambil oleh seorang bekas pekerja taska dan diedarkan di laman-laman sosial bagi memberi amaran kepada ibu bapa tentang sebuah taska yang memberi layanan buruk kepada kanak-kanak yang dihantar di situ.
Dalam video tersebut, seorang wanita dilihat bukan sahaja memarahi seorang budak perempuan yang sedang menangis tersedu-sedu malah bertindak menampar pipi dan tangan si kecil sebelum bertindak menekup mulutnya.
Perbuatan ini jelas bertentangan dengan sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh seseorang yang diamanahkan dan dibayar oleh ibu bapa untuk menjaga anak mereka dengan baik.
Ini juga menunjukkan betapa pentingnya setiap pengusaha dan pekerja taska diwajibkan memiliki sijil atau pendidikan berkaitan psikologi dan cara menangani kanak-kanak dengan baik.
Difahamkan budak perempuan yang dimarahi ini telah melakukan kesalahan menggigit kanak-kanak lain di taska tersebut tetapi ia tidak sepatutnya jadi alasan untuk melayan anak kecil yang masih tak tahu apa-apa sebegitu rupa.
Menurut keterangan pada video yang didakwa dimaklumkan sendiri oleh bekas pekerja taska dalam rakaman ini, kejadian berlaku di sebuah taska yang terletak di Ipoh, Perak.
Diharapkan pihak berwajib segera menyiasat bagi mengesahkan seterusnya mengambil langkah wajar jika benar dakwaan ini berlaku. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Rem Ramzi