KUALA TERENGGANU – Empat daerah di Terengganu menjadi lokasi wabak denggi sejak akhir Julai lepas, dengan purata antara 20 dan 30 kes dicatat setiap minggu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohamad Omar berkata empat daerah itu ialah Besut, Dungun, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
“Wabak denggi itu, bagaimanapun berakhir Sabtu lepas dengan kes terakhir direkodkan di Kampung Telaga Daing dekat Kuala Nerus.
“Dengan komitmen tinggi diberikan pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat, kita berjaya menghapuskan jangkitan denggi, dan wabak itu kini terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran peningkatan kebersihan dan keselamatan tandas serta promosi kesedaran penjagaan kemudahan dan kebersihan tandas di Fasiliti Kesihatan Malaysia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohamad berkata sepanjang tempoh wabak itu berlaku, satu kematian direkodkan di Hulu Terengganu dan ia menjadikan jumlah kematian sebanyak tiga kes sepanjang tahun ini.
“Sejak Januari hingga semalam, sebanyak 794 kes demam denggi direkodkan di seluruh Terengganu.
“Jumlah itu mencatat penurunan sebanyak 4.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 829 kes,” katanya. – BERNAMA