KUALA LUMPUR – Orang ramai di Port Dickson dan Rembau, Negeri Sembilan berasa bimbang dengan bekalan air bersih di kawasan itu berwarna coklat gelap sejak awal bulan ini.
Perubahan mendadak warna air tersebut menimbulkan keresahan mereka berhubung kualiti air yang diterima jika boleh mengundang penyakit dan sebagainya.
Sehubungan itu, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) mengeluarkan satu kenyataan media rasmi mengenai perkara itu hari ini.
SAINS dalam kenyataan tersebut memaklumkan perubahan warna pada air terbabit disebabkan tindak balas kimia yang diguna pakai oleh syarikat itu.
Bagaimanapun, SAINS memberi jaminan kualiti air tersebut masih memenuhi piawaian air minuman kebangsaan yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan.
Berikut kenyataan penuh SAINS mengenai perkara itu:
KENYATAAN MEDIA – SIDANG MEDIA SYARIKAT AIR NEGERI SEMBILAN SDN. BHD. (SAINS) BERHUBUNG ISU KUALITI AIR
Gangguan kualiti Air yang berlaku adalah disebabkan perubahan pada warna air yang bertukar menjadi kuning sehingga berubah ke warna coklat gelap.
Perubahan warna pada air adalah akibat dari tindak balas kimia yang digunapakai dan SAINS pada masa ini sedang menganalisa secara terperinci bahan kimia yang sesuai untuk digunapakai dalam proses rawatan air di loji berkenaan.
Namun dari siasatan awal oleh Unit Kualiti Air SAINS yang dilakukan di kawasan aduan menunjukkan air terawat SAINS masih memenuhi piawaian air minuman kebangsaan yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia.
Kawasan-kawasan yang terlibat dengan gangguan kualiti air di Daerah Rembau;
Kolam Miku – Kg Batu, Kg Sg Layang, Kg Nerasau, Kg Penajis, Kg Chengkau, Kg Fajar Harapan, Kg Lada, Kg Pulau Mampat, Kg Durian Daun, Kg Bongek, Kg Senama, Kg Batu Nunggul, Taman Sri Permai Mampong dan Pulau Besar.
Kolam Sri Kendong – Seluruh Kawasan Kendong, Pekan Kota, Kg Legung Jaya, Kg Gadong, Kg Che Thamby, Kg Legung Ulu dan Kg Astana Raja.
Kolam Bukit Kunyit – Kg Durian Daun, Kg Panchang, Rumah Rakyat Lubok China, Kg Sg Timun, Kg Sawah Raja, Kg Semerbok dan Kg Simen
Manakala bagi daerah Port Dickson kawasan yang terlibat adalah:
Sekitar kawasan Kg Pengkalan Durian Linggi, Rumah Rakyat Pengkalan Durian (Fasa1 dan Fasa 2), Taman Linggi, Sebahagian kawasan Tampin Linggi, Seluruh kawasan Linggi, Rumah Rakyat Permatang Pasir, Kg Sua Manggis, Kg Permatang Pasir Linggi, Tarzan Estet, Felcra Air Hitam Sengkang, Kawasan Pengkalan Kempas (Batu 18 hingga 22), Kg Tanjung Agas, Kg Sg Raya, Kawasan Bukit Tembok, Taman Sengkang, Seluruh Kawasan Pekan & Kg Pasir Panjang.
Bagi daerah Rembau dan Port Dickson anggaran akaun yang terlibat adalah 13 ribu akaun (Rembau 8 ribu akaun / Port Dickson 5 ribu akaun).
SAINS telah mengambil langkah awal (jangka pendek) dengan mengadakan proses ‘scouring & flushing’ di kawasan terlibat bagi membantu mengurangkan tindak balas kimia dalam saluran paip berkenaan sehingga ke rumah pengguna.
Namun proses ini mampu bertahan beberapa tempoh tertentu dan ianya akan berulang semula pada tempoh berikutnya.
Seperti maklumat yang diterima daripada pengguna terlibat tempoh yang dikenalpasti berlakunya perubahan warna air ini adalah pada waktu petang, berlaku dalam tempoh beberapa jam dan akan kembali pulih seperti sedia kala.
Oleh demikian, SAINS telah mengambil inisiatif dengan menghantar contoh air terawat dari Loji Rawatan Air Sawah Raja, Rembau untuk kajian makmal luar di Kuala Lumpur bagi mendapatkan laporan analisa parameter yang terperinci bagi tujuan penggunaan bahan kimia yang sesuai dalam proses rawatan air.
Besar harapan SAINS kepada pengguna kawasan terlibat untuk bersabar dan memahami situasi yang dialami oleh SAINS pada masa ini.
SAINS turut memohon kerjasama pengguna di kawasan berkenaan untuk sama-sama membantu memberikan maklumat berterusan kepada SAINS dan SAINS akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
Sebarang aduan boleh terus menghubungi SAINS ditalian 1 800 88 6982 atau hantarkan aduan ke [email protected].
Segala kesulitan yang berlaku amat dikesali dan SAINS berjanji akan terus berusaha demi kesejahteraan pengguna. – MYNEWSHUB.CC