BATAM – Dua wartawan Britain yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak Mei lalu akibat membuat dokumentari mengenai lanun di Selat Melaka tanpa kebenaran mungkin berdepan hukuman penjara lima tahun kerana melanggar undang-undang imigresen, kata pegawai.
Pegawai pendakwa raya Batam, Ali Akbar berkata, pihaknya menerima surat arahan siasatan dari Pejabat Imigresen Batam terhadap Neil Bonner, 31, dan Becky Prosser, 30.
Katanya, pasangan warga asing itu akan didakwa bekerja ketika masih memegang visa pelancong dan berdepan hukuman penjara lima tahun.
“Kedua-dua mereka mengaku adalah wartawan dan susulan itu, pejabat imigresen tempatan giat menyiapkan kertas siasatan.
“Selepas kertas siasatan itu lengkap, mereka akan dibicarakan pula di Mahkamah Daerah Batam,†katanya.
Pasangan itu ditahan pasukan tentera laut Indonesia pada 28 Mei lalu bersama sembilan warga tempatan di Pulau Belakang Padang.
Ketika ditahan mereka didapati sibuk merakam aksi lakonan semula lanun cuba merampas kapal.
Semua lelaki warga tempatan itu dibebaskan selepas membayar ikat jamin.
Mereka juga mendakwa dibayar oleh pasangan berkenaan untuk melakonkan aksi lanun merampas kapal. – Agensi/myMetro Online
https://www.youtube.com/watch?v=ZzCquCFJmPw