NAMPAKNYA memang benar wujud komplot jahat oleh pihak luar yang membuat konspirasi dengan beberapa rakyat Malaysia bagi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak sekian lama.
Terbaharu, beberapa akhbar tempatan mendedahkan perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dalam kalangan mereka dengan cipta ‘tuduhan palsu’ untuk dijadikan dakyah jahat bagi hasut rakyat menumbangkan kerajaan.
Ini termasuk editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown subahat dengan beberapa pembangkang; secara angkuh pernah beritahu Xavier Andre Justo bahawa dia sedang ‘ubah masa depan sebuah negara’.
Wanita Britain itu malah memaklumkan bekas staf syarikat PetroSaudi International tersebut yang kini dihukum penjara di Thailand bahawa mereka bakal meraikannya dengan segelas arak Champagne sebaik Najib ‘tumbang’.
Bagaimanapun susulan hukuman penjara tiga tahun ke atas Justo pada 17 Ogos lalu, bukti terbaharu menerusi WhatsApp itu mendedahkan ‘niat jahat’ sebenar Clare termasuk sedia langgar undang-undang Malaysia sendiri.
Ia dibuat dengan bantu Justo mengumpul AS$2 juta (RM8.62 juta) sebelum warga Switzerland itu didakwa melakukan pengubahan wang haram sebagai bayaran e-mel yang dicuri konon daripada bekas majikannya itu.
Justo, 48 tahun; dipenjara atas jenayah peras ugut syarikat Arab Saudi itu namun, pasukan penyiasat Thailand bagi kes itu merungkai tahap kesungguhan Clare bersama rakan subahat bagi menggulingkan kerajaan Malaysia.
Menurut sumber rapat dengan pihak berkuasa Thailand, pendedahan itu antara lain merangkumi perbualan WhatsApp selama tiga bulan melibatkan Clare dengan pengurusan kanan Kumpulan Media The Edge.
Ini membabitkan Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat yang kemudian menerbitkan artikel fitnah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Justo sendiri, menawar untuk jual data dicurinya kepada pembida tertinggi.
Pada 15 Julai, akhbar tempatan pernah melaporkan kenyataan bekas editor Sarawak Report yang mendakwa Clare memalsukan beberapa dokumen untuk fitnah 1MDB dan Najib, menerusi beberapa pendedahan portal itu.
Editor terbabit, Lester Melanyi, dikatakan turut menamakan beberapa individu termasuk ahli politik terkemuka pembangkang sebagai antara dalang yang terbabit aktif dalam konspirasi jahat menggulingkan kerajaan BN.
Perbualan di WhatsApp itu, kata sumber, turut mendedahkan keakraban hubungan Clare dengan ketua umum PKR, Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam perbualan WhatsApp dengan Clare pada 19 Mac 2015, Kay Tat didakwa menulis (terjemahan): “Artikel anda seolah-olah gambarkan anda ingin jatuhkan PM. Kami dituduh kerjasama dengan anda bagi gulingkan PM.”
Clare didakwa menjawab: “Saya yang tulis berita ini, bukan anda. Penuhi komitmen anda dan saya akan pergi tanpa beritahu sesiapa.” Dia kemudian sebut “mungkin kita telah ubah hala tuju sebuah negara”.
Mesejnya pada Jun lalu berbunyi: “Kami rancang satu lagi pendedahan sebelum pilihan raya negeri (Sarawak). Saya akan raikan apabila Najib tumbang. Saya sudah dapat berita menerusi orang Anwar. Saya guna Mahathir untuk dapat sumber maklumat lain.”ÂÂ
Justo mendakwa dijanjikan AS$2 juta sebagai pertukaran data dicuri daripada bekas majikannya. Dalam temu bual di penjara bersama Straits Times Singapura baru-baru ini, Justo mendakwa tidak menerima bayaran yang dijanjikan.
Ia melibatkan seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia. Sumber penyiasatan Thailand kemudian mengesahkan Kooi Ong sebagai ahli perniagaan terbabit.
Menerusi satu lagi temu bual, Justo mendakwa persetujuan berhubung urusan jual beli dokumen itu dicapai di Singapura pada Februari lalu, disusuli perbincangan panjang lebar mengenai kaedah pembayaran terhadapnya.
Kumpulan individu yang ditemui Justo di Singapura bagi berunding soal penjualan data terbabit, turut dinamakan dalam pengakuan dirinya itu setebal 22 muka surat kepada pihak Polis Diraja Thailand.
Justo turut mengulangi apa yang dikatakan polis Thailand baru-baru ini, iaitu pengakuannya itu disokong kukuh dengan pelbagai dokumen termasuk rekod perbualan WhatsApp dengan pembeli berkenaan.
“Apa yang ditulis dalam pengakuan saya, sebahagian besar dibuktikan menerusi perbualan e-mel, mesej WhatsApp saya dengan mereka,” katanya serta mendakwa, Clare bersetuju terima AS$2 juta daripada pembeli.
Wanita itu akan memberinya AS$250,000 (RM1.07 juta) sebulan sebagai upah perkhidmatan rundingan. “Saya tidak tahu sama ada dia (Clare) sudah menerima duit itu atau tidak, (kerana) saya telah ditangkap. Saya tidak tahu,” kata Justo.
Sumber Thailand berkata, dalam perbualan panjang lebar menerusi WhatsApp, Clare turut menjelaskan bagaimana dia akan membantu Justo mendapatkan AS$2 juta sebelum melakukan pengubahan wang haram.
Awalnya, beliau cuba menggunakan firma SJS Limited di Singapura bagi menyalurkan dana haram berkenaan bersama dengan abangnya yang juga Pengarah SJS, Patrick Rewcastle.
Pada 19 Mac, Clare mengesahkan komisen bagi pemindahan haram itu dan berkata: “Lelaki itu mahu mengenakan bayaran 67,000 euro (RM321,929). Saya yakin dia tidak akan menipu.”
Clare kemudian menawarkan Yayasan Bruno Manser (BMF); yang dinamakan sempena aktivis alam sekitar warga Switzerland, sebagai saluran bayaran AS$2 juta itu dan pada 22 April menulis: “Dia boleh buat bayaran ke BMF jika dia mahu.”
Dia akhirnya bersetuju menjual kepentingan Sarawak Report kepada BMF untuk membayar kepada Justo. Berikut adalah sebahagian daripada terjemahan perbualan Clare dengan Justo menerusi WhatsApp:
19 Mei (4:32 petang): Dia ingin bayar menerusi syarikat BVI (British Virgin Island)!!! Ia akan kelihatan teruk dalam akaun rasmi saya! Saya akan bincang secara bersemuka. Itu lebih baik daripada berunding dengan KT (Kay Tat) yang teruk itu.
19 Mei (4:37 petang): Mereka akan kata saya kritik syarikat BVI tapi saya sendiri menggunakannya. Aduh.
19 Mei (5:11 petang): Saya akan berkempen bagi elak tempat berlindung cukai ini. Mereka akan gelar saya hipokrit. Saya tidak akan buat bising hingga saya jumpa mereka dan cari penyelesaian dengan Tong.
Sebelum ini, Clare pernah dilaporkan agensi berita antarabangsa yang menyifatkan dakwaan terhadapnya oleh Justo konon sebagai mengarut dan sengaja diada-adakan lelaki itu bagi mendapatkan publisiti.
“Apa yang saya siarkan mengenai 1MDB dan diperjelaskan oleh The Edge serta disokong beberapa sumber rasmi adalah penjelasan yang konsisten, berbanding cerita 1MDB yang kerap dilihat mengelak serta berubah,” katanya.
Bagaimanapun ‘tembelang’ penipuan Clare terbongkar apabila pada 24 Julai lalu, Kooi Ong dan Kay Tat mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai menjawab temu bual eksklusif Justo yang disiarkan Straits Times.
Kedua-duanya mengaku memperdayakan Justo dan menganggap ia adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan bukti. Namun mereka turut menegaskan tidak membayar sesiapa untuk mendapatkan berita berkenaan.
“Kami tidak buat apa-apa kesalahan,” kata mereka. Polis Thailand menahan bekas ketua teknologi maklumat PetroSaudi di pejabat London itu, pada 22 Jun lalu di kediaman mewahnya di pulau peranginan Koh Samui.
Dia mengaku mencuri data syarikat – bersaiz kira-kira 90 gigabait – ketika meninggalkan PetroSaudi pada tahun 2011 dan kemudian meminta lebih banyak bayaran daripada PetroSaudi pada 2013 tetapi ia tidak diendahkan.
Susulan itu, Justo diperkenalkan dengan Clare menerusi kenalan di Geneva, Switzerland yang ada rangkaian di Malaysia. Justo kemudian menemui Clare di Plaza Athenee di Bangkok dan Fullerton Hotel di Singapura.
Clare semasa di Singapura, ditemani oleh mereka yang dinamakan dalam pengakuan Justo itu dan setakat ini ketika dihubungi, Clare, Kooi Ong dan Kay Tat tidak menjawab apa-apa panggilan. – Agensi/Mynewshub/HAA