PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri dijangka memanggil Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang berhubung kenyataan beliau terhadap isu Jalan Petaling di Kuala Lumpur pada Jumaat yang dianggap keterlaluan.
Menurut seorang pegawai Wisma Putra yang enggan dikenali ketika dihubungi akhbar The Star, kenyataan oleh diplomat itu disifatkan sebagai cubaan pihak luar sengaja mahu mencampuri hal ehwal urusan dalaman Malaysia.
“Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan duta tersebut seolah-olah masuk campur isu domestik negara ini dan beliau dijangka memberi penjelasan mengenai kenyataannya pada Isnin,” kata pegawai kementerian itu.
Wisma Putra membantah komen tersebut susulan tinjauan Huikang di jalan berkenaan yang turut dikenali sebagai Chinatown dan memberi kenyataan bahawa kerajaan China menentang pihak yang mencetuskan huru-hara di situ.
“Pemerintah China sentiasa mengamalkan kehidupan aman dalam hubungan antarabangsa dan prinsip tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara lain,” kata beliau yang dipetik oleh portal berita Malaysiakini.
“Namun gangguan kepentingan China, pelanggaran hak dan perundangan serta perniagaan warga China yang boleh rosak hubungan persahabatan China dan negara tuan rumah, kita tidak akan berdiam diri,” tegas Huikang.
Kenyataan duta berkenaan dipercayai sebagai reaksi dengan merujuk kepada penganjur perhimpunan Baju Merah, Datuk Jamal Md. Yunos yang merancang mengadakan himpunan bantahan di Jalan Petaling pada Sabtu.
Bagaimanapun perhimpunan itu dibatalkan dan Jamal ditahan pihak polis pada Jumaat mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah kerana mengeluarkan kenyataan kononnya kekacauan bakal tercetus di jalan tersebut.
Beliau sebelum itu menuntut pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk bertindak tegas ke atas peniaga Cina yang bebas menjual barangan tiruan secara berleluasa di Jalan Petaling.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu malah memberi amaran perhimpunan akan diadakan di situ kerana mendakwa hanya kaum Cina memonopoli perniagaan dan kaum-kaum lain sukar berniaga di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Wisma Putra telah pun memaklumkan kepada pejabat Perdana Menteri susulan Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di New York, Amerika Syarikat untuk lawatan rasmi selama seminggu. – Mynewshub.cc