KABUL – Sebuah pesawat pengangkut jenis Hercules C-130 milik tentera udara Amerika Syarikat (AS) berjaya ditembak jatuh militan di lapangan terbang Jalalabad dekat sini pagi Jumaat, lapor media Afghanistan.
Setakat ini, belum diketahui secara pasti jumlah mangsa korban, namun agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan, sekurang-kurangnya terdapat 10 orang maut dalam kemalangan pesawat tentera tersebut.
Sementara itu, sebuah lagi agensi berita asing AFP melaporkan ada 11 mangsa disahkan kemungkinan besar terbunuh, yang terdiri daripada enam anggota tentera AS dan lima orang awam warga tempatan.
“Semua anak kapal dan penumpang dalam pesawat secara rasmi dianggap sebagai terbunuh,” kata Kolonel Brian Tribus, jurucakap pasukan tentera darat AS di Afghanistan ketika ditemui wartawan pelbagai agensi.
Pesawat ketenteraan itu memang diketahui mengangkut lima pekerja kontraktor awam yang bekerja untuk misi latihan Resolute Support dipimpin badan kerjasama pertahanan, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Baca: Tentera Indonesia Paling Kuat Di ASEAN, Malaysia Pula…?
Juga: Indonesia Juara Dunia, Siapa Kata Tentera AS Hebat?
Hercules C-130 merupakan pesawat kargo buatan firma AS, Lockheed Martin dan pesawat tersebut dilengkapi empat mesin turboprop serta sering digunakan untuk mengangkut pasukan tentera atau kenderaan berat.
Dalam pada itu, stesen penyiaran BBC melaporkan jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku, pihaknya sebagai bertanggungjawab dalam menembak jatuh pesawat Hercules milik tentera AS itu di Jalalabad.
“Mujahidin kami telah menembak jatuh sebuah pesawat berenjin empat milik AS di Jalalabad. Berdasarkan informasi yang berwibawa, 15 orang termasuk tentera ‘boneka’ terbunuh,” katanya menerusi media sosial.
Hampir sebanyak 10,000 tentera AS masih lagi ditempatkan di Afghanistan susulan rancangan pengunduran secara berperingkat yang kemudian diubah oleh Presiden AS, Barack Obama awal tahun ini dan berakhir 2016.
Menurut NATO, seramai 1,000 anggota tentera asing berada di bahagian timur Afghanistan, lokasi nahas pesawat Hercules tersebut. Mereka ditugaskan membantu dan bekerjasama dengan 40,000 anggota tentera Afghanistan.
Namun, kehadiran mereka ditentang Taliban malah beberapa hari lalu, kumpulan itu terlibat dalam pertempuran sengit dengan tentera Afghanistan di kota kelima terbesar di negara itu, Kunduz. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA