LUMUT – Sebanyak 17 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam serbuan di dua lokasi menerusi Ops Ikrar dan Ops Sapu sekitar Daerah Manjung malam tadi.
Ketua Jabatan Imigresen Lumut, Nor Azman Ibrahim berkata dalam serbuan pertama menerusi Ops Ikrar pada kira-kira 7.30 malam di sebuah pusat urut di pekan Sitiawan, 10 wanita Thailand dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan.
“Suasana sedikit tegang apabila kebanyakan tukang urut warga Thailand berkenaan cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan tersebut, namun semua berjaya ditahan dan ada antara mereka mengalami sedikit kecederaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Nor Azman berkata dalam serbuan kedua menerusi Ops Sapu di sebuah rumah kongsi di kawasan tapak pembinaan Kampung Serdang, Sitiawan, pihaknya menahan empat lelaki dan dua wanita warga Indonesia.
“Semua warga asing yang ditahan tiada dokumen perjalanan sah, menyalah guna pas lawatan sosial serta tinggal melebihi masa ditetapkan dan semua akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut,” katanya. – BERNAMA