KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis dilepaskan dan dibebaskan manakala seorang pegawai polis diperintah membela diri terhadap pertuduhan cuba memperoleh rasuah sebanyak RM40,000, dua tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen, Allaudeen Ismail memerintahkan Koperal Mahzan Hakim Mohamad Zain, 32, Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 31, dan Konstabel Jasli Jahirin, 25, dilepaskan dan dibebaskan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap mereka.
Sebaliknya, beliau memerintahkan Inspektor K. Raviindran, 34, supaya membela diri terhadap pertuduhan itu.
Kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama cuba memperoleh rasuah iaitu wang tunai RM40,000 daripada seorang peniaga, Dhalgit Singh Mahinder Singh, 32, sebagai dorongan untuk melepaskan K. Manimaran yang ditangkap atas kesalahan menyimpan dadah.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 1.30 pagi dan 2 pagi, di bahu jalan berhadapan sebuah restoran McDonald’s di Kepong, di sini pada 5 Jun 2013.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Kesemua mereka bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sentul.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 dan 4 Nov ini bagi Raviindran membela diri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Lokman Kasim manakala peguam Geethan Ram Vincent mewakili kesemua tertuduh. – BERNAMA