TAWAU – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan tiga nelayan dan merampas tiga bot jongkang kerana menangkap ikan menggunakan pukat tanpa lesen di perairan daerah ini, semalam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Mohamad Madun berkata ketiga-tiga lelaki berumur 22 hingga 29 tahun itu ditahan dalam Op Paradise pada 8 pagi di perairan pelabuhan Tawau.
“Ketika melakukan operasi di kawasan perairan berkenaan pasukan peronda terserempak dengan ketiga-tiga bot jongkang itu dan apabila diperiksa kesemua mereka gagal menunjukkan lesen untuk membolehkan mereka melakukan aktiviti itu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya ketiga-tiga suspek ditahan dan kesemua barang rampasan termasuk 12 utas pukat kemudiannya dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut. – BERNAMA