TEHERAN – Sadaf Taherian, aktres terkenal kelahiran Iran, menimbulkan kontroversi di negara asalnya kerana didapati mengirim posting sejumlah foto wajah dirinya tanpa mengenakan hijab menerusi media sosial.
Pemerintah Iran dilaporkan telah menyelar wanita jelita berusia 27 tahun itu sebagai ‘tidak bermoral’ malahan melarang keras bintang tempatan tersebut daripada terlibat lagi dalam sebarang aktiviti seni perfileman.
Menurut media Iran, Sadaf dilaporkan menerbitkan foto-foto itu di Instagram sebagai protes atas undang-undang Iran yang ketat dan mewajibkan golongan perempuan menutup kepala mereka jika berada di kawasan awam.
“Saya gugup dan bimbang tentang bagaimana masyarakat memberi reaksi terhadap foto-foto terbaharu saya,” katanya dalam sebuah wawancara dengan stesen penyiaran asing Voice of America versi bahasa Parsi.
“Kenangan masa lalu memberi saya kepercayaan diri untuk posting foto-foto itu. Saya ingat saat menyertai banyak syarikat filem untuk tandatangani kontrak, saya dengar banyak komentar mengenai penampilan saya.”
Foto-foto yang dihantar itu mencetuskan kemarahan menerusi laman sosial di Iran. Sejumlah foto yang disiarkan malah menampilkan Sadaf mengenakan hijab, tetapi ia dipasang dengan teknik khas photoshop di kepalanya.
“Saya tidak harap reaksi positif daripada rakyat Iran, dari budaya saya sendiri, untuk dengar begitu banyak penghinaan, tetapi saya hanya berasa kasihan terhadap reaksi mereka, dan tiada lagi yang dapat saya katakan.
“Saya ingin tinggal di suatu tempat dan hidup dengan cara membuatkan saya lebih bahagia,” kata Sadaf yang lahir pada 21 Julai 1988 di ibu kota Iran, Teheran dan mula terkenal menerusi filem Asre Yakhbandan pada tahun lalu.
Kementerian Kebudayaan Iran dilaporkan telah berjanji untuk memansuhkan permit kebenaran kerja kepada Sadaf dalam industri perfileman tempatan dan ia juga dimaklumkan kementerian itu menerusi siaran televisyen.
Sadaf, yang kini berharap untuk membangun kembali karier lakonannya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu turut mengaku pernah menjadi mangsa gangguan seksual dalam bidang perfileman Iran suatu ketika dahulu.
Baca: Aktres Diusir Iran Bogel Untuk Majalah Erotik Perancis
“Dia (pengarah filem) kerap mengganggu saya ketika saya tengah sibuk beraksi dalam filem, dan lelaki tersebut juga hanya asyik berfikir tentang diri saya di luar daripada soal filem,” kata Sadaf.
“Dia hanya menunggu adegan selesai sebelum berbisik di telinga saya. Mereka akan menempatkan lima atau enam kontrak di depan saya, tetapi dengan hanya satu syarat: satu bulan ‘tidur’ bersama mereka,” jelasnya lagi.
Menurut undang-undang Iran, sekiranya berada di tempat awam, semua perempuan di Iran, termasuk orang asing, diwajibkan untuk memakai hijab jenis longgar, yang menutupi rambut dan leher mereka.
Sejak terpilih pada 2013, Presiden Hassan Rouhani yang berhaluan sederhana telah buat beberapa pembaharuan politik dan sosial, namun majoriti masyarakat tetap sangat konservatif. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA