TIDAK keterlaluan kami katakan, populariti yang dikecapi pengasas kecantikan Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Vida kini persis seorang selebriti.
Mana tidaknya, perwatakan cerianya setiap kali muncul di kaca televisyen dengan mengenakan pakaian bergemerlapan dan mahkota sering kali menarik perhatian sesiapa sahaja yang menonton.
Bercerita mengenai gaya penampilannya, Datuk Vida yang popular dengan taglinenya produknya ‘Qu Puteh Qu Puteh, barulah putih’ ini akui mengenakan mahkota kerana minat selain hobinya suka menyimpan aksesori itu sejak lima tahun lalu.
“Angan-angan nak jadi puteri raja. Kena pula dengan cerita Frozen tu, memang makin saya minatlah.
“Setakat ini saya ada 10 mahkota yang ditempah di Hong Kong,” katanya dipetik Media Hiburan.
Pada masa yang sama, Datuk Vida mendedahkan mahkota paling mahal yang dipakainya adalah berharga dalam lingkungan RM100,000 lebih, manakala yang paling murah berharga RM10,000 lebih.
Kebiasaannya, Datuk Vida akan memakai mahkota ini semasa promosi produk-produk atau ada majlis tertentu untuk tampil unik dan menarik. – MYEWSHUB.CC