TAWAU – Aktiviti berpersatuan berupaya menjadi benteng pertahanan mengelak diri daripada terjebak dengan kegiatan tidak sihat, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat.
Sehubungan itu, beliau berkata golongan belia dan generasi pelapis muda perlu mengambil peluang menyertai pelbagai persatuan dan bergiat aktif serta menggunakan segala ilmu yang ada untuk memperkasakan diri.
“Gunakan segala kesempatan untuk memperkaya diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan bagi mempersiap diri menjadi insan yang lebih cekal dan cerdas dalam hidup sekali gus menyumbang kepada pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Mesyuarat Pandu Puteri Renjar dan Pesta Tunas Puteri Peringkat Negeri, di sini hari ini.
Mengulas mengenai program itu, Hamisa berkata pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan sepanjang program berkenaan, yang bertujuan membina jati diri peserta yang terlibat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli dan pemimpin.
Program yang bermula sejak Jumaat lepas itu disertai 170 peserta dari Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Papar, Semporna, Tuaran, dan Tawau.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah, Normah Jafar. – BERNAMA