KUALA LUMPUR – Mahkamah di Malaysia mungkin hanya dianggap adil dan saksama jika setiap keputusan yang dibuat oleh hakim menyebelahi parti-parti pembangkang.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan biadap hari ini mendakwa Mahkamah Rayuan sebagai jumud gara-gara tidak memihak kepada Setiausaha Kerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, R. Yuneswaran dalam kes perhimpunan haram.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad menuduh Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang bercanggah dengan hak asasi kemanusian kerana menyabitkan kesalahan ke atas Yuneswaran di bawah Akta Perhimpunan Aman.
“Keputusan itu telah menyabitkan kesalahan ke atas Yuneswaran di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan yang diadakan pada tahun 2013 atau lebih dikenali sebab Perhimpunan Black 505. Beliau disaman RM6,000.
“Ini bercanggah dengan keputusan yang telah dibuat oleh makamah yang sama pada awal tahun ini dalam kes Nik Nazmi v Pendakwaraya. Perubahan ketara ini mengisyaratkan era hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan semakin samar akibat pentafsiran yang terhad oleh mahkamah,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Nik Nazmi mahu Mahkamah Persekutuan mengambil langkah yang lebih berani dan adil di dalam mentafsir akta tersebut dengan membebaskan Yuneswaran jika keputusan kes Yuneswaran dirujuk ke peringkat itu.
“Dalam era global dan penuh kebebasan ini, tafsiran undang-undang berkenaan hak asasi dengan cara yang jumud adalah tidak relevan, malah ia bertentangan dengan perkembangan Malaysia sebagai negara yang bebas dan demokratik,” dakwanya. – MYNEWSHUB.CC