KEMAMAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan asing bersama 24 awak-awak termasuk dua tekong kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara semalam.
Kedua-dua bot nelayan Vietnam itu dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 93 batu nautika timur laut dari Kuala Kemaman pada pukul 9.15 pagi.
Ketua Penguatkuasa Pengkalan Maritim Kemaman, Left Komander Norhafizi Mohd Rafek berkata ketika serbuan dilakukan bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat ganding.
“Apabila menyedari kehadiran anggota penguatkuasa, nelayan itu bertindak memotong pukat tersebut sebelum melarikan diri.
“Kita berjaya menahan bot terbabit setelah mengejar mereka dan pemeriksaan terhadap semua nelayan itu mendapati tiada seorang pun mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Menurutnya hasil pemeriksaan lanjut terhadap sebuah bot lagi membawa kepada penemuan minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 10,000 liter disimpan di dalam peti simpanan kargo bot tersebut.
Norhafizi berkata bot terbabit dipercayai dijadikan sebagai bot bekalan minyak untuk nelayan asing lain yang berada di perairan tersebut untuk tempoh jangka masa yang lama.
Bot terbabit telah ditunda pulang ke Jeti Pengkalan Maritim Kemaman manakala semua awak-awak dan tekong yang berusia 18 hingga 40 tahun itu akan ditahan sementara di jeti tersebut untuk mendapatkan tahanan reman esok.
Jelasnya hasil rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM1.6 juta manakala berat tangkapan pelbagai jenis ikan dianggarkan 7 tan.
Kesemua nelayan terbabit akan didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan sekiranya sabit kesalahan, tekong bot boleh didenda sehingga RM1 juta manakala awak-awak sebanyak RM100,000 seorang.- BERNAMA