SEREMBAN – Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menepati hasrat kerajaan ke arah mensejahterakan rakyat.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bajet itu mensasarkan kepada semua peringkat dan golongan rakyat yang mendapat manfaat dalam pelbagai kemudahan dan bantuan yang diberikan.
“Walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, kerajaan mampu membuktikan yang kebajikan rakyat masih diberikan keutamaan di samping menguruskan negara dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai projek Malaysia Vision Valley (MVV) dalam pembentangan Bajet 2016, Mohamad berkata ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi sektor perindustrian dan ekonomi Negeri Sembilan serta membuka luas peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
“Dalam masa yang sama, Negeri Sembilan sendiri akan terus membangun dengan menyediakan pelbagai kemudahan insfrastrukturnya dan prasarana termasuk dari segi sistem perhubungan dan komunikasinya,” katanya.
Kerajaan akan membangunkan MVV yang meliputi keluasan 108,000 hektar di Negeri Sembilan dengan unjuran pelaburan permulaan sebanyak RM5 bilion. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]7Q8YFufyCuQ[/wpdevart_youtube]